mutakhir

Lelaki jadi proksi pengarah GLC direman 4 hari

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki menjadi proksi kepada pengarah syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini.

Ia bagi mendapatkan projek daripada sebuah syarikat GLC berjumlah lebih RM1 juta.

Perintah reman sehingga 13 Januari depan itu dikeluarkan oleh Majistret R Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 11.35 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang berkerja sebagai pengarah di sebuah syarikat swasta menjadi proksi kepada Pengarah GLC terbabit dalam mendapatkan kontrak daripada GLC berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: January 10, 2023 @ 5:34pm
d