mutakhir

Tiada kes positif Covid-19 dalam kalangan lebih 7,000 pelancong China [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Pendang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengesan sebarang kes positif Covid-19 dalam kalangan lebih 7,000 pelancong China yang tiba di negara ini sejak Ahad lalu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah memastikan setiap pelancong yang tiba di negara ini melalui proses saringan Covid-19 bagi mengesan mereka yang bergejala.

"Kita mula terima kemasukan 4,000 pelancong China mulai 8 Januari lalu, dan jumlah terakhir mereka ketika ini adalah lebih 7,000.

"Setakat ini, tiada langsung kes jangkitan atau ada pelancong bergejala dikesan di pintu masuk, jadi status ini sangat baik dan kita bukan sahaja mengambil langkah berjaga-jaga ke atas pelancong China sahaja, tetapi pelancong negara lain juga," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang antara Kementerian Kerja Raya yang diwakili Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan KKM.

Turut berangkat Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Mengulas berkaitan cadangan supaya Malaysia menutup pintu sempadan susulan varian baharu Covid-19, Dr Zaliha berkata, ia tidak perlu dilakukan kerana bilangan kes positif dalam negara sangat rendah ketika ini.

Jelasnya, secara keseluruhan, kes Covid-19 negara adalah terkawal berikutan kesedaran orang ramai mengenai pandemik itu semakin tinggi ketika ini.

"Sebenarnya, setiap hari kita masih buat saringan Covid-19 dan jumlah saringan dibuat mencecah belasan ribu, jumlah itu menunjukkan orang ramai khususnya yang bergejala masih datang buat saringan dan bukannya mereka enggan datang.

"Tetapi sepanjang saringan, jumlah kes positif yang dikesan sangat rendah, semalam kurang 500 kes positif, malah Kedah hanya catat kira-kira 20 kes sahaja. Itu menunjukkan kes adalah terkawal," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2023 @ 3:46pm
d