mutakhir

Remaja terperangkap di sungai diselamatkan bomba

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Bomba berjaya menyelamatkan dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun selepas dipercayai terperangkap ketika memancing di Sungai Kerayong di Taman Pandan Mewah, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam pada jam 5.29 petang.

"Susulan itu sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang Jaya kemudian bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, mendapati dua remaja itu berada dalam sungai berkenaan dengan kedudukan kira-kira 50 meter antara satu sama lain, "katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit berada di dalam sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira 20 kaki (enam meter) dan ketika mereka memancing, paras air masih rendah dan arus tidak deras.

"Bagaimanapun, hujan lebat pada petang tadi menyebabkan paras air sungai mula meningkat dan arus bertukar menjadi deras menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap di seberang sungai.

"Anggota bomba bertugas menggunakan tali dan tangga untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa, "katanya.

Katanya, operasi menyelamat selesai pada jam 6.42 petang dan dua remaja itu kemudian diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Disiarkan pada: January 16, 2023 @ 9:19pm
d