rap

Pulau masih pentingkan kesopanan dan kesusilaan rakyat Malaysia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyangkal dakwaan segelintir pihak mengatakan adegan terlampau dalam filem Pulau boleh meruntuhkan moral masyarakat dengan hanya menonton 'trailer' filem itu.

Presidennya, Pansha berkata, semua proses mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Katanya, PFM yang mewakili industri perfileman tempatan melalui Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sudah melaksanakan pra-tonton filem itu selepas penerbit mendapat kelulusan rasmi LPF berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010.

"Kami yakin dan percaya tahap profesionalisme Jawatankuasa LPF yang memberi kelulusan kepada Pulau dengan sewajarnya dan mohon tidak perlu dikaji semula," katanya.

Menurutnya, adegan yang dipaparkan masih lagi menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan berdasarkan amalan rakyat Malaysia dan turut membandingkan dengan platform lain yang lebih banyak menyajikan karya dengan kandungan lucah secara lebih terbuka.

"Sekiranya hendak dibandingkan, karya lebih lucah atau 'panas' dengan mudah boleh dicapai melalui platform OTT, media sosial atau Internet secara terbuka tanpa sekatan hingga ke rumah yang ditonton tanpa mengira usia," katanya.

Pansha juga memaklumkan bahawa jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas juga sudah meluluskan tarikh tayangan umum di pawagam pada 9 Mac ini.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 1:34pm
d