Amerika Utara

AS kenakan sekatan terhadap Timbalan Presiden, bekas Presiden Paraguay kerana rasuah

Oleh BERNAMA

Washington: Washington mengenakan sekatan terhadap Timbalan Presiden Paraguay dan bekas ketua negara disebabkan rasuah, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Khamis.

Timbalan Presiden Paraguay Hugo Velázquez dan Horacio Cartes yang juga Presiden dari 2013 hingga 2018 dikenakan sekatan "kerana penglibatan mereka dalam rasuah sistemik yang menjejaskan institusi demokrasi di Paraguay," kata Blinken dalam satu kenyataan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Tahun lalu AS mengenakan sekatan visa ke atas Cartes dan Velázquez kerana rasuah.

"Kerajaan mesti responsif terhadap rakyat mereka dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan elit politik yang korup," kata Blinken dalam ciapan di Twitter.

Aset mereka akan dibekukan dan warga AS dilarang menjalankan perniagaan dengan pemimpin berkenaan.

Menurut AS, Cartes "terlibat dalam rasuah" sebelum, semasa dan selepas tempohnya sebagai presiden.

"Selama lebih sedekad, Cartes memanfaatkan kekayaan dan pengaruhnya yang diperoleh secara haram untuk mengukuhkan kuasa politik dan ekonominya ke atas institusi Paraguay.

"Semasa berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Paraguay, Velazquez berusaha mengganggu proses undang-undang untuk melindungi dirinya dan rakan jenayah daripada siasatan," kata Blinken.

Jabatan Perbendaharaan AS juga memaklumkan bahawa Cartes dan Velázquez "menjalin hubungan" dengan anggota pergerakan Hizbullah, yang disenaraikan oleh Jabatan Negara AS sebagai organisasi pengganas.

Bagaimanapun, Velázquez dan Cartes menolak dakwaan itu, menurut media tempatan.

Disiarkan pada: January 27, 2023 @ 3:14pm
d