santai

Jengah puncak Gunung Datuk

Oleh Fariz Ubaidullah

BAGI kebanyakan penggemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung, Gunung Datuk, Negeri Sembilan biasanya menjadi destinasi pilihan sebagai tempat latihan sebelum menyertai ekspedisi lebih mencabar.

Tidak kurang juga ada yang menjadikan gunung terbabit sebagai destinasi untuk proses pemulihan selepas melakukan pendakian ekstrem.

Namun, untuk yang pertama kali berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki, pendakian di Gunung Datuk menjanjikan cabaran tersendiri.

Apa tidaknya, pada 10 minit pertama pendaki akan melalui laluan bertangga yang menguji ketahanan fizikal.

Bagi yang tidak biasa, cabaran pengenalan itu sudah pasti menguji ketahanan mental jua.

Penulis baru-baru ini berpeluang mendaki Gunung Datuk ketika cuti umum, namun ia bukan untuk latihan persediaan atau proses pemulihan sebaliknya sekadar ingin mengisi masa lapang sambil merakam foto spesies flora dan fauna di sekitarnya.

Seperti trek pendakian lain dalam negara, laluan ke puncak Gunung Datuk juga menyediakan panorama indah hutan hujan tropika.

Pelbagai spesies flora dan fauna unik boleh ditemui di sepanjang trek pendakian.

Pada pendakian kali ini, penulis direzekikan melihat sepintas lalu sepasang enggang yang berterbangan. Kedengaran juga burung belatuk yang gigih mengukir kediaman baharu di batang pokok atau mencari ulat.

Keluarga picidae bersayap itu mempunyai 25 spesies di Semenanjung tanah air.

Selepas hampir sejam pendakian, penulis dan rakan tiba di puncak serta suasana tidak begitu sesak seperti hujung minggu biasa.

Manfaatnya, mudah untuk kami merakamkan swafoto atau mengambil gambar panorama di sekitar puncak gunung berkenaan sebelum bergerak turun.

Kelihatan haiwan jinak seperti tupai berlari-lari menyapa pendaki yang tiba dan ada juga yang berkongsi makanan yang dibawa .

Antara spesies yang penulis berjaya rakam sepanjang pendakian itu ialah land planarian (bipalium sp) atau cacing hammerhead yang bukan hanya boleh ditemui di sini dan di Sarawak, malah sehingga negara Uncle Sam.

Haiwan invertebrata dengan pelbagai belang atau jalur yang bertoksin itu boleh menyebabkan rasa mual kepada haiwan yang memakannya.

Malah, haiwan leper itu dikatakan pemangsa cacing tanah dan siput.

Selain itu, penulis juga menemui haiwan yang dilihat menyerupai lumut putih kecil, nimfa flatidae.

Penulis dan rakan tidak mengambil masa lama untuk tiba di pintu masuk, meskipun agak lelah, namun masing-masing teruja untuk ke destinasi seterusnya untuk mengisi perut.

Ini kerana tidak sah kunjungan ke negeri adat pepatih itu jika tidak merasai keenakan hidangan masak lemak cili api.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 6:30am
d