mutakhir

Bekas Pengarang Eksekutif HM meninggal dunia

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Bekas Pengarang Eksekutif Harian Metro (HM), Datuk Hafifi Hafidz meninggal dunia di Hospital Avisenna, Shah Alam, hari ini.

Hafifi, 63, meninggal dunia kira-kira 12 tengah hari tadi ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana radang paru-paru.

Anak sulungnya, Ayesha Aqilah, 37, berkata, arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

Menurutnya, bapanya yang juga bekas pesakit barah rongga pernafasan tahap empat dimasukkan ke hospital sejak 11 hari lalu selepas mengadu tiada selera makan pada 10 Januari lalu.

"Pihak hospital melalukan pemeriksaan termasuk ujian darah dan Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) tetapi keputusan tiada masalah.

"Sejak dirawat di hospital keadaan ayah nampak ada sedikit perubahan tetapi pagi ini semakin merosot sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, arwah bapanya disahkan menghidap kanser itu pada Mac 2005 sebelum kembali pulih setahun selepas itu.

"Ketika ini kami masih di hospital dan InsyaAllah jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ubudiyah Seksyen 19 Shah Alam selepas solat Jumaat untuk urusan selanjutnya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, hari ini," katanya.

Hafifi memegang jawatan Pengarang Eksekutif di HM pada pertengahan 2004 sebelum mengundur diri pada penghujung 2005 atas faktor kesihatan.

Beliau juga sebelum itu pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang eksekutif di Berita Harian dan The News Straits Times (NST) sejak 1983.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 2:10pm
d