mutakhir

1.9 peratus rakyat Johor sudah terima dos penggalak kedua

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Hanya 1.9 peratus penduduk Johor mendapatkan suntikan dos penggalak kedua bagi melindungi diri daripada kesan penyakit Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan dan mempergiatkan lagi program vaksinasi berkenaan.

Beliau berkata, ia sangat penting untuk meningkatkan daya tahan badan dan memanjangkan imuniti terhadap penyakit Covid-19 terutama bagi golongan yang berisiko tinggi dan pesakit kronik.

Menurutnya, orang ramai boleh ke klinik kesihatan yang disenaraikan atau hospital awam bagi mendapatkan suntikan dos penggalak kedua dengan percuma.

Katanya, bagi klinik kesihatan sebahagiannya, ia memiliki jadual pemberian suntikan dos penggalak.

"Kita tidak meletak sasaran penerima suntikan dos penggalak tetapi kita menyeru kepada semua bangsa Johor untuk mendapatkannya.

"Kita sedia upaya untuk meningkatkan kesedaran ramai berkaitan suntikan dos penggalak kedua dan meningkatkan bilangan orang ramai menerima dos penggalak," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Projek Akuagro Rukun Tetangga Peringkat Negeri Johor di Jalan Bacang, Taman Kota Masai di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Azizul Bachok, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak dan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman.

Sementara itu, mengulas berkaitan fatwa garis panduan umat Islam menghadiri upacara perayaan masyarakat bukan Islam, beliau berkata ia adalah jelas dan tidak bercanggah dengan semangat dan konsep bangsa Johor.

"Kita hidup dalam masyarakat majmuk, walaupun ada perbezaan Agama kita saling menghormati semua bangsa," katanya.

Kenyataan fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berkenaan garis panduan umat Islam menghadiri upacara perayaan masyarakat bukan Islam tidak bercanggah dengan konsep Bangsa Johor.

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 12:43pm
d