mutakhir

Penduduk desak teruskan pembangunan Kampung Sungai Baru [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru di sini, mendesak kerajaan supaya meneruskan pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sejak enam tahun lalu.

Wakil pemilik hartanah Kampung Sungai Baru, Mohd Adam Abdul Aziz berkata, penduduk meminta kerajaan membatalkan penangguhan projek berkenaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

"Majoriti penduduk di sini mahu pembangunan diteruskan, sudah lama kami menanti pembangunan semula (kawasan ini) dapat dilaksanakan.

"Bayaran pampasan pengambilan tanah (oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu) kepada pemilik flat (pangsapuri) dan rumah teres juga sudah diberikan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri di sini, hari ini.

Memorandum berkenaan diterima oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin disaksikan kira-kira 100 pemilik hartanah dan penduduk Kampung Sungai baru.

Sementara itu, penduduk, Khadijah Abu Zaki, 68, berkata, dia kecewa dengan penangguhan projek pembangunan di kawasan itu seperti yang diumumkan baru-baru ini.

"Majoriti penduduk menyokong pembangunan ini, malah rumah juga sudah dikosongkan selepas menerima pampasan yang dijanjikan pemaju.

"Hanya 11 peratus penghuni sahaja tidak bersetuju, saya tidak faham mengapa sedangkan mereka sudah menerima wang pampasan," katanya.

Justeru, dia meminta kerajaan untuk campur tangan dan menyelesaikan segera projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 12:55pm
d