mutakhir

Shahrir Samad tidak pertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Selepas lebih empat dekad memegang jawatan Ketua Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini, mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu menjelang pemilihan parti.

Ia dimaklumkan Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Umno di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Umno Johor menghormati keputusan Shahrir yang mengumumkan beliau mahu melepaskan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Johor Bahru.

"Itu bermakna, beliau tidak akan lagi berada dalam Perhubungan Umno Johor selepas ini.

"Shahrir banyak menabur bakti memimpin bahagian, berkongsi pengalaman dalam politik selain membimbing pemimpin muda parti.

"Maka kita ucapkan terima kasih dan sangat hargai sumbangan dan jasa besar beliau selama ini dalam Umno Johor," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan Bendahari Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday.

Shahrir, 73, yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru sejak 1980-an lagi.

Pada 1988, Shahrir melepaskan kerusi Parlimen Johor Bahru sebelum bertanding semula sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi parlimen berkenaan.

Beliau kemudian kembali menyertai Umno semula setahun kemudian.

Sementara itu, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, keputusannya untuk bersara sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru bagi membolehkan dirinya memberi fokus kepada keluarga.

"Ini membolehkan saya jadi 'Shahrir' semula, orang biasa. Sama ada saya masih aktif bersuara di media sosial (Facebook Tok Uban), itu belum tahu lagi.

"Keputusan ini tidak dipengaruhi oleh kes mahkamah yang dihadapi sebelum ini apatah lagi mahkamah sudah melepas dan membebaskan atas pertuduhan itu," katanya.

Shahrir sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 3:34pm
d