mutakhir

Pelajar tahfiz, penduduk terperangkap banjir

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi : Seramai 19 pelajar tahfiz dan sebuah keluarga di Kampung Baru Sungai Mas, di sini diselamatkan anggota bomba apabila kawasan berkenaan dinaiki air, petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.59 petang.

Katanya, kesemua mangsa terperangkap di premis masing-masing apabila air mula naik di sekeliling asrama tahfiz dan dua rumah, ekoran hujan lebat lebih tiga jam.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati dua keluarga dan pennghuni sebuah asrama tahfiz terperangkap dalam banjir.

"PKO bertindak memindahkan kesemua mangsa ke kawasan yang selamat iaitu ke surau berdekatan dewan Kampung Baru Sungai Mas.

"Mereka yang diselamatkan ialah dua lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan 10 kanak-kanak lelaki," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian banjir di kawasan ini adalah kali ketiga dalam bulan ini.

"Pihak kami sudah bersedia dan menjangkakan berlaku banjir seperti sebelum ini di Kampung Baru Sungai Mas ekoran hujan lebat," katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 10:04pm
d