mutakhir

Warga asing dipercayai seludup arak ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lelaki warga asing ditahan kerana dipercaya menyeludup arak tidak bercukai bernilai RM270,000 dalam serbuan di sekitar Kampung Bohol, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bukit Jalil, kira-kira 6 petang.

Menurutnya, suspek dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan arak tidak bercukai yang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 3,694 botol arak dan 4,920 tin arak pelbagai jenama.

"Jumlah nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM 270,000," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, reman ke atas suspek dibenarkan selama 12 hari bermula hari ini hingga 15 Februari ini.

"Pihak polis Cheras menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku.

"Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 11:21pm
d