mutakhir

Lelaki kurang siuman cetus kacau ganggu di jalan raya

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Lelaki kurang siuman bukan saja bertindak mencederakan diri sendiri, malah nyaris mengancam keselamatan pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini, pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pada awalnya, polis mengesan video tular berdurasi 24 saat menerusi aplikasi TikTok pada 7.58 pagi.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan tiga anggota polis sedang memujuk seorang lelaki yang menimbulkan kacau ganggu, namun lelaki berkenaan enggan bekerjasama.

"Bertindak atas maklumat ketua polis Balai Seri Alam bersama anggota pergi ke lokasi kejadian, namun usaha memujuk lelaki warga asing berusia lingkungan 20 tahun itu juga gagal.

"Bagaimanapun, ketika cuba melarikan diri lelaki itu melanggar sebuah lori, malah turut mencederakan diri sendiri dengan menghentak kepalanya di bahagian cermin hadapan lori terbabit," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, dia yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan.

"Lelaki itu akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HSI untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 11:53pm
d