mutakhir

Sosej daging babi tanpa permit import dirampas

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan membawa masuk sosej daging babi dan ayam dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.

Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata, dalam pemeriksaan rutin penumpang di Balai Ketibaan KLIA pada jam 2 pagi, pihaknya menemui 40 batang sosej daging babi dan 10 ayam yang dianggarkan bernilai RM400 diletakkan di dalam sebuah kotak gabus.

Menurutnya, produk daging babi dan ayam itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan dirampas kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.

"Tujuan larangan pengimportan dan membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan wabak penyakit African Swine Fever ke negara ini yang boleh merosakkan industri penternakan," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mohd Sobri berkata, perbuatan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma tanpa permit import yang sah dari Maqis adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) akta sama.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 1:51pm
d