mutakhir

Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 teliti tatacara perolehan - Dr Zaliha

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih itu susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu untuk memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, Kertas Putih itu akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan berikutan penemuan awal pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjalankan 'due diligence' (penilaian wajar) terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin Covid-19 yang ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.

"Bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin Covid-19 di bawah kementerian ini dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta memastikan ia mempunyai manfaat timbal-balik kepada kerajaan," katanya.

Pada 8 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kertas Putih perolehan dan kos pembelian vaksin Covid-19 akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang kerana didapati tidak mengikut prosedur serta dilakukan tanpa melalui persetujuan Peguam Negara (AG).

Anwar dilaporkan berkata Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan kerana pada peringkat awal dikesan terdapat ketirisan kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya serta perolehan bagi sesetengah vaksin itu amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terbabit.

Disiarkan pada: February 10, 2023 @ 10:48am
d