mutakhir

KPWKM sedia bantu PDRM bagi penubuhan unit khas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia bekerjasama dengan agensi pusat dalam memperincikan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang akan diwujudkan tidak lama lagi.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya merakam penghargaan dan terima kasih atas sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertimbang cadangan kementerian membangunkan jabatan itu.

"KPWKM turut berbesar hati atas pengumuman penubuhan sebuah unit

khas di bawah Bahagian Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak.

"KPWKM sedia membantu PDRM demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, KPWKM juga mengalu-alukan inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menggalakkan wanita yang sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak.

"Kami percaya pindaan akta yang akan dibawa oleh Kementerian Sumber Manusia ini akan menjadi pemangkin dan menyuntik semangat untuk golongan wanita.

"Ini bermakna menjadi seorang ibu tidak menghalang golongan wanita untuk terus berjaya dalam kerjaya dan profesion mereka," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 9:28pm
d