mutakhir

KKM cepatkan proses lantikan graduan perubatan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyegerakan proses lantikan graduan perubatan secara pelantikan kontrak tanpa melalui proses temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam menangani masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam dan swasta.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata, inisiatif lain yang dilakukan adalah melantik semula pegawai perubatan pakar yang sudah tamat kontrak untuk berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut keperluan.

Katanya, pegawai perubatan pakar yang sudah bersara wajib turut dilantik semula untuk menyumbang khidmat dengan KKM berdasarkan keperluan dan bidang kritikal.

"Slot latihan siswazah di KKM turut ditingkatkan daripada 10,835 pada 2013 kepada 12,228 tahun lalu selain menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran.

"Kerajaan juga meningkatkan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway di KKM selain menggalakkan pakar perubatan warganegara yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air," katanya menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah KKM untuk mengatasi masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam serta swasta.

Dr Zaliha berkata, selain untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan, penambahan jumlah pegawai perubatan dibuat bagi memenuhi sasaran seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk menjelang 2025 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"KKM turut mengambil kira kepentingan perkhidmatan jururawat bagi memperkukuh serta memantapkan tadbir urus klinikal dan penggubalan dasar berkaitan kesihatan.

"Perkembangan profesion kejururawatan perlu dinamik ekoran kehendak perkhidmatan semasa, skop tugas yang luas dan kompleks dalam menangani perubahan drastik yang berlaku dalam sistem kesihatan negara," katanya.

Beliau berkata, peningkatan bilangan pegawai perubatan di sektor awam serta swasta dapat dilihat berdasarkan nisbah kepada penduduk pada 2021, iaitu 1:420 berbanding 1:554 pada tahun 2017.

Manakala bagi jururawat pula, nisbah kepada penduduk pada 2021 adalah 1:283 berbanding 1:302 pada tahun 2017.

"Sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 6,985 pakar perubatan, pegawai perubatan (52,666) dan 69,608 jururawat sedang berkhidmat di fasiliti kesihatan kementerian," katanya.

Katanya, selain pengisian kekosongan jawatan tetap sedia ada, KKM turut membuat pelantikan secara kontrak jururawat bagi memenuhi keperluan segera di fasiliti kesihatan kritikal.

Sehingga 31 Disember 2022, seramai 2,336 jururawat lantikan kontrak berkhidmat di KKM.

Disiarkan pada: February 28, 2023 @ 4:30pm
d