mutakhir

Menu Rahmah GiatMARA Kelantan dapat sambutan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: GiatMARA Kubang Kerian dan Nilam Puri, di sini, menyediakan 15 Menu Rahmah dengan harga serendah RM4.50 untuk jualan kepada orang ramai.

Jualan yang dihasilkan oleh pelajar Kursus Konfeksionari dan Bakeri serta Kursus Masakan dan Pramusaji itu bermula semalam hingga hari ini bertempat di GiatMARA Kubang Kerian.

Pengarah GiatMARA Kelantan, Renie Kasriana Kaman berkata, pakej harga serendah RM4.50 itu didatangkan dengan pelbagai jenis makanan sama ada nasi, hidangan Barat atau kek berserta minuman.

"Sejak semalam, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kita sasarkan untuk dua hari jualan adalah sebanyak RM4,500.

"Selain menyokong inisiatif kerajaan, jualan Menu Rahmah selama dua hari ini juga dijalankan bagi melatih pelajar dalam bidang keusahawanan dan akan bermanfaat sebaik mereka tamat kursus nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Menu Rahmah dan Kitchen Rahmah itu disempurnakan oleh Pengarah MARA Kelantan, Fazli Rizal Ismail di GiatMARA Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Renie Kasriana berkata, rata-rata pembeli yang datang sangat berpuas hati dengan aneka makanan yang dijual walaupun pada mulanya seakan tidak percaya dengan harga murah berbanding premis jualan lain.

Menurutnya, pihak merancang memperkenalkan Khidmat Rahmah berikutan GiatMARA juga mempunyai kursus berkaitan solekan, automotif dan spa kecantikan boleh menawarkan perkhidmatan mampu milik.

"Mungkin kami akan menyediakan perkhidmatan memeriksa tayar kenderaan, membuat inai, terapi kecantikan atau solekan serendah RM5 untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membantu golongan B40," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 2:07pm
d