mutakhir

15 pokok tumbang, tujuh rumah, enam kenderaan rosak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tujuh rumah dan enam kenderaan rosak akibat dihempap 15 pokok tumbang di Taman Desa Riang, Damansara Damai, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 4.19 pagi tadi.

"Seramai 29 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat 15 pokok tumbang di lokasi terbabit membabitkan tujuh rumah yang terjejas di bahagian hadapan.

"Selain itu, enam kenderaan yang diletakkan di tepi jalan juga terjejas akibat dihempap pokok tumbang berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerja-kerja pemotongan sisa pokok tumbang sedang dilakukan oleh pihak bomba.

"Tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam insiden ini," katanya.

Menurut penduduk, kejadian pokok tumbang berkenaan berpunca daripada ribut yang melanda kawasan itu, awal pagi tadi.

Disiarkan pada: March 21, 2023 @ 7:39am
d