mutakhir

'Skuad Seindah Kasih menceriakan Ramadan kami' [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda membawa pelajar tahfiz Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, di Pasir Tumboh, di sini, berbelanja di Bazar Ramadan Kubang Kerian, hari ini.

Ia adalah sebahagian aktiviti yang dianjurkan Kumpulan Media Prima selain untuk menyantuni anak-anak tahfiz di pusat berkenaan.

Seorang pelajar, Muhammad Faisal Zarif Nordin, 15, berkata, keinginannya untuk menjamah ayam golek tercapai apabila dibawa membeli di bazar Ramadan.

"Terima kasih Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang bukan sahaja menceriakan Ramadan kami, tetapi turut menceriakan rumah ibadat tempat kami menuntut ilmu.

"Hari ini sangat bermakna buat kami, lebih-lebih lagi turut disertai beberapa penyampai radio yang sebelum ini hanya mendengar suara mereka di corong radio," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Turut sama menemani pelajar tahfiz berkenaan ialah penyampai radio Molek FM iaitu Mek Zura atau nama sebenarnya Azuraina Sheikh Omar dan Khai Hassan.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Wan Muhammad Putra Wan Hussin, 14, berkata, dia mengakui teruja apabila ditemani abang dan kakak Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda.

"Mereka melayan saya dan rakan-rakan dengan baik sekali dan membeli juadah yang kami inginkan untuk berbuka nanti.

"Antara makanan yang paling saya inginkan adalah murtabak kerana sejak Ramadan masih belum merasainya," katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2023 @ 8:35pm
d