Bola Sepak

TFC lakar kemenangan kedua

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penantian Terengganu FC (TFC) untuk memburu kemenangan kedua tercapai selepas berjaya membenam cabaran Kelantan United FC (KUFC) 2-1 pada aksi keenam Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Penyu mendaki di kedudukan keenam liga dengan mengutip tujuh mata manakala skuad Kijang Hijau kekal menghuni di tangga tercorot dengan satu mata.

Terdahulu skuad kendalian Tomislav Steinbrukner yang sebelum ini bergelut untuk memburu kemenangan kedua bermula garang apabila percubaan pertama pada minit kelima perlawanan membuahkan hasil untuk jaringan pertama.

Jaringan itu terhasil menerusi tolakan mudah pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi berpunca hantaran lintang Muhammad Azam Azmi Murad untuk pasukannya mendahului 1-0.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat skuad pelawat kendalian Tomas Trucha untuk menyamakan kedudukan, bagaimanapun percubaan tepat menerusi rembatan deras Yan Victoria Paixoa pada minit kelapan berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Asakan bertali arus tuan rumah untuk menambah jaringan berhasil apabila gol kedua tercipta menerusi penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-28 yang mudah menanduk masuk hasil hantaran silang Syafik Ismail untuk pasukannya mendahului 2-0.

Jaringan Liridon dan Mintah itu adalah yang pertama buat kedua-dua pemain berkenaan yang sebelum ini bergelut untuk membuka akaun jaringan.

Sedar ketinggalan, Trucha melakukan empat pertukaran pemain sekali gus sebaik babak kedua bersambung, namun masih belum mampu merobek kubu tuan rumah yang kental bertahan.

Sebaliknya penyerang gantian TFC, Ivan Mamut hampir mencipta sensasi apabila rembatan padunya dari jarak 20 meter pada minit ke-56 hampir menghadiahkan jaringan ketiga pasukannya, namun palang menjadi penghalang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Pada minit ke-76, pelawat berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan penyerang gantian, Jose Porteria selepas rembatannya dari luar kotak penalti gagal dibaca Mohd Suhaimi untuk kedudukan muktamad kekal 2-1 memihak kepada TFC.

Disiarkan pada: April 1, 2023 @ 12:13am
d