mutakhir

Rampas beg tangan palsu bernilai RM1 juta

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Sebanyak 10,000 unit beg tangan disyaki jenama tiruan yang dianggarkan bernilai RM1 juta dirampas menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di stor simpanan serta premis jualan dalam sebuah pasar raya, dekat sini, hari ini.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, dalam serbuan jam 1 tengah hari itu, turut ditahan empat individu termasuk tiga wanita berusia 18 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, operasi berkooenaan dilaksanakan selepas hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh Pasukan Risikan KPDN Selangor terhadap dua premis yang disyaki menyimpan dan menjual barangan jenis beg tangan berjenama eksklusif dan terkenal.

Katanya, risikan dan serbuan juga adalah hasil kerjasama daripada wakil cap dagangan berdaftar berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.

"Hasil serbuan mendapati sejumlah 12 jenama ditemui digunakan dengan salah pada beg tangan yang disimpan di stor simpanan dan dijual di premis yang diserbu.

"Anggaran jumlah barangan yang ditemui dalam dua premis adalah 10,000 unit beg tangan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1 juta.

"Ia adalah nilai rampasan terbesar pada tahun ini mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Zuhairi berkata, premis berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sitaan dilakukan ke atas kesemua barang rampasan dan seterusnya disimpan dan dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 4:16pm
d