utama

Nostalgia pelita kekabu [METROTV]

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Usaha seorang petani menghidupkan semula tradisi memasang pelita kekabu pada malam tujuh likur dapat membangkitkan semula nostalgia bagi kebanyakan penduduk sekitar Kampung Alor Keladi, Jertih di sini.

Mohd Zailani Mohd Nor, 48, berkata, selalunya orang tua pada zaman dahulu akan membawa pelita kekabu ini sebagai pengganti lampu suluh untuk menerangi laluan ke tempat mengaji al-Quran.

"Seingat saya, tradisi membuat pelita kekabu ini sudah dimulakan sejak zaman nenek moyang lagi sebelum diteruskan oleh ayah dan kini saya boleh membuatnya sendiri.

"Pada awalnya, saya sekadar buat pelita ini secara suka-suka dalam jumlah sedikit untuk menerangi kawasan rumah pada malam pada Ramadan serta Syawal.

"Tetapi sejak tahun lalu saya mula menghasilkannya dalam jumlah yang banyak iaitu kira-kira 2,500 biji pelita kekabu dan tahun ini sekitar 3,000 biji pelita," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jertih di sini, kelmarin.

Menurutnya, pelita itu akan diagihkan kepada orang ramai bagi orang kenal dan mahu memastikan tradisi memasang pelita kekabu ini tidak akan pupus ditelan zaman.

"Kekabu amat terhad berikutan ia bermusim paling banyak pada awal tahun dan tumbuh meliar di kawasan tertentu sahaja.

"Proses menghasilkan pelita kekabu ini hanya mengambil masa kira-kira lima minit bermula dari proses memilih putik buah muda yang dipotong dua dan digerudi untuk mengeluarkan isinya sebelum ruang kosong itu diisi dengan minyak tanah dan isi kekabu dijadikan sumbu," katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, kebiasaannya sebiji pelita raya itu boleh digunakan berulang-ulang selama seminggu sehingga ketibaan Aidilfitri.

"Pelita kekabu yang diisi kira-kira 50 mililiter (ml) minyak tanah mampu bertahan kira-kira satu jam sahaja sebelum diisi semula dengan minyak yang baharu.

"Kebiasaannya saya akan memperuntukkan kira-kira RM10 membeli minyak tanah atau minyak diesel untuk menampung penggunaan pelita selama tiga hari," katanya.

Menurutnya, penggunaan buah kekabu muda sebagai pelita juga lebih mesra alam kerana menggunakan bahan semula jadi manakala buah kekabu matang digunakan untuk membuat tilam atau bantal.

"Jika diikutkan kebanyakan generasi muda tidak tahu kewujudan pelita kekabu ini walaupun proses pembuatannya ringkas serta mudah kerana tidak diberikan pendedahan.

"Disebabkan itu saya mengambil inisiatif meneruskan warisan ini serta memperkenalkan tradisi ini selagi hayat dikandung badan," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2023 @ 7:00am
d