mutakhir

Tempoh tersibuk penjual buluh lemang

Oleh Rosman Shamsudin

Slim River: Sejak beberapa hari lalu, Azman Hassan antara peniaga yang paling sibuk, mencari dan mempersiapkan buluh untuk dijual kepada penjual lemang.

Pesara tentera berusia 63 tahun yang sudah lebih 10 tahun menjual buluh lemang berkata, dia menjual dua jenis buluh lemang yang siap kepada pelanggannya.

"Satunya buluh lemang daun pisang dan satu lagi buluh lemang daun lerek. Untuk buluh ini saya gunakan jenis buluh telur sebab akan menghasilkan lemang yang enak.

"Semua buluh akan dicuci bersih sebelum dimasukkan daun pisang mahupun lerek dan pembeli boleh terus gunakannya untuk memasak," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, buluh lemang daun pisang masih menjadi pilihan orang ramai dan untuk Aidilfitri ini, dia sudah menjual lebih 700 batang buluh lemang.

Selain buluh siap berisi, Azman juga menjual buluh kosong pada harga RM2.50 sebatang, malah tidak lokek berkongsi cara memasukkan daun ke dalam buluh dengan pelanggannya.

Buluh siap berisi daun pisang dijual pada harga RM3.50 sebatang, manakala daun lerek pula berharga RM 4.00 sebatang.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 10:37am
d