mutakhir

Lelaki hilang perahu karam ditemukan lemas

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam di Sungai Putai, Kapit, malam Isnin lalu, ditemukan lemas petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa, Bon Albert, 58, ditemukan penduduk kampung di tebing sungai berkenaan pada jam 6 petang.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti berhampiran Jambatan Sungai Putai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian malam Isnin, mangsa bersama tiga rakan menaiki perahu mudik ke hulu Sungai Putai untuk menangkap ikan.

Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 9 malam, sungai berombak berikutan angin kencang serta hujan menyebabkan perahu gagal dikawal lalu terbalik.

Mangsa didapati hilang manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

Rakan-rakannya berusaha mencari mangsa, namun keadaan gelap menyukarkan mereka dan laporan berhubung kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit pada Selasa.

Polis kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit pada jam 3 petang, Selasa lalu seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

Bagaimanapun, bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi yang mengambil masa selama empat jam perjalanan menaiki bot dari Kapit.

Bomba kemudiannya terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung untuk ke lokasi berikutan bot penyelamat JBPM tidak dapat melalui kawasan sungai yang berbatu ekoran air surut.

Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 11 pagi semalam dan melancarkan pencarian di permukaan dalam jarak 15 kilometer bersama anggota polis, staf Kementerian Kesihatan serta penduduk kampung sehinggalah mangsa ditemukan pada 6 petang.

Disiarkan pada: April 27, 2023 @ 8:43am
d