PnP

'Cair' aset sedia ada

Oleh Hafiz Ithnin

"Antara ciri-ciri yang kami ambil kira dalam membeli rumah adalah mempunyai ruang luas untuk diubah suai mengikut cita rasa sendiri.

"Selain itu, rumah juga berstatus pegangan bebas kerana ia lebih berbaloi untuk pelaburan jangka panjang," jelas Tuty Emily Abdul Rahim, 42.

Melihat foto rumah teres dua tingkat milik Tuty Emily dan suami, Muhamad Firdaus Ahmad Murad yang dikirimkan kepada penulis ternyata begitu puas melihat keunikannya.

Justeru, tidak hairan perkongsian mengenai rumahnya di media sosial mendapat perhatian warga maya.

Sebenarnya sebelum Tuty Emily dan suami membeli rumah bernilai RM638,000 di Sepang, Selangor itu, Tuty Emily sudah mempunyai sebuah rumah townhouse yang dibelinya sebelum berumah tangga.

Jelasnya, dia membeli rumah pertama pada 2013 dengan harga RM215,000 dan menjualnya pada 2020 berharga RM330,000.

"Hasil daripada penjualan rumah pertama itu, saya menjadikannya sebagai 'pusingan modal' untuk membeli rumah kedua ini. Ini kerana saya menyedari untuk membeli rumah teres di kawasan Lembah Klang atau di pinggirnya memerlukan aliran tunai yang baik.

"Pada pendapat saya strategi membeli rumah pertama pada harga lebih murah adalah baik untuk mendapatkan rumah lebih selesa pada masa depan," katanya.

Tuty Emily berkata, selepas berkahwin suaminya berhasrat membeli rumah lebih selesa dan luas iaitu jenis teres.

"Jadi, setahun selepas berkahwin saya dan suami mula mencari rumah baharu untuk dibeli dan membuat tinjauan di beberapa lokasi.

"Selain itu, kami juga perlu meneliti harga yang ditawarkan supaya ia sesuai dengan bajet dan keluasan rumah juga diambil kira," katanya.

Tambahnya, selepas kira-kira empat bulan membuat tinjauan hartanah yang ingin dibeli akhirnya dia dan suami bersetuju memiliki rumah yang mempunyai keluasan 1,986 kaki persegi itu.

"Saya juga bersyukur rumah pertama yang dibeli itu dapat dijual pada masa singkat. Meskipun pada awalnya, ejen hartanah memaklumkan agak sukar menjual rumah jenis townhouse.

"Jadi, wang daripada penjualan rumah pertama kami jadikan modal untuk membeli rumah kedua ini serta menampung kos pengubahsuaian," katanya.

Katanya, dia dan suami puas hati dapat memiliki rumah itu kerana impian mempunyai sebuah rumah bersandarkan cita rasa peribadi akhirnya tercapai.

"Rumah kami ini boleh diubah suai kerana mempunyai tanah yang agak luas. Selain itu, kami juga ingin mengelakkan daripada membeli rumah yang mempunyai status strata.

"Perkara lain yang diambil kira pastinya rumah kami ini mempunyai hubungan jalan raya yang baik untuk ke tempat kerja dan mempunyai kemudahan komersial di sekitarnya," katanya.

Tuty Emily berkata, pada hemat dia dan suaminya membeli rumah memerlukan perancangan yang baik terutama jika bercadang untuk mencairkan aset sebelum itu bagi dijadikan modal membeli kediaman seterusnya.

"Perkara ini penting supaya aliran tunai peribadi dalam keadaan baik dan kita juga tidak terbeban pada masa depan dari segi kewangan," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2023 @ 7:00am
d