utama

Kanak-kanak parah dihentam tayar treler tercabut

Oleh T N Alagesh

Temerloh: Kanak-kanak lelaki parah selepas dihentam tayar treler yang tercabut dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Triang-Temerloh berhampian Kampung Buntut Pulau, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 11.24 pagi, mangsa berusia 12 tahun sedang mengayuh basikal seorang diri di tepi jalan sebelum tayar treler membawa muatan buah kelapa sawit tertanggal lalu menghentam kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu dalam perjalanan dari Temerloh menuju ke Triang.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba dua tayar bahagian belakang kiri treler berkenaan tercabut.

Katanya, tayar pertama terkena pada sebuah Honda HRV yang diletakkan di bahu jalan menghala ke Triang, manakala tayar kedua mengenai kanak-kanak lelaki yang sedang mengayuh basikal.

"Akibat kejadian itu, kanak-kanak lelaki terbabit mengalami kecederaan di kepala, patah bahu kiri dan patah kaki kiri. Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dilaporkan stabil.

"Pihak polis akan memanggil pemandu lori terbabit untuk diambil keterangan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 09-2716086 atau balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: April 29, 2023 @ 2:29pm
d