mutakhir

Polis buru dua suspek berhubung penemuan meriam buatan sendiri

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan dua suspek berkaitan kejadian letupan disyaki meriam bom buatan sendiri menggunakan paip PVC di sebuah kedai di Tiara Mutiara 1, Jalan Klang Lama, di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, dua suspek berkenaan dikesan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Pengadu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun menerima panggilan dari pengawal keselamatan memaklumkan berlaku letupan kecil di hadapan kedainya jam 6 pagi.

"Pemeriksaan dilakukan unit pemusnah bom (UPB) polis, forensik dan bomba menjumpai tiga paip PVC warna putih yang diubah suai menjadi bahan letupan.

"Pemeriksaan pada paip PVC menjumpai alat IED dengan kawalan jauh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, polis menemui serpihan letupan di tempat kejadian dan berjaya menimbulkan tiga kesan cap jari pada serpihan berkenaan.

Basri berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke balai berdekatan atau hubungi Hotline Polis Brickfields di talian, 0322979222," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2023 @ 7:07pm
d