mutakhir

KPDN pantau harga barang, perkhidmatan sepanjang LIMA '23

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau harga barangan dan perkhidmatan sepanjang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata KPDN Kedah diberi tanggungjawab bagi memastikan tiada kenaikan mendadak harga barangan atau perkhidmatan ketika pameran berprestij itu berlangsung.

Katanya, KPDN akan memantau harga perkhidmatan kereta sewa, hotel dan makanan sepanjang program berkenaan berlangsung bagi memastikan peniaga tidak sesuka hati mengaut keuntungan mudah.

"Saya sendiri akan turun bersama-sama KPDN Kedah untuk melakukan pemantauan sepanjang LIMA '23 berlangsung," katanya selepas merasmikan sebuah kilang roti di Taman Sena Indah di sini, hari ini.

Katanya, anggota penguat kuasa KPDN juga akan melakukan pemantauan lebih awal dari tarikh penganjuran LIMA '23 memandangkan terdapat pengunjung sudah membuat tempahan dan bayaran bagi mengikuti program itu.

"KPDN serius dan mengingatkan pemain industri supaya dapat mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti-Pencatutan 2011 terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan dan menetapkan harga tidak munasabah terhadap orang ramai.

Disiarkan pada: May 10, 2023 @ 1:27pm
d