utama

Dua beradik rentung ketakutan, minta tolong dari jendela rumah [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: "Saya sempat melihat dua beradik berkenaan dalam keadaan takut meminta tolong melalui jendela rumah, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat," kata Siti Salwani Husin, 35.

Siti Salwani adalah sepupu kepada dua beradik yang ditemui rentung dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Mentuan, Sering di sini kira-kira 8.30 malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam bilik di rumahnya yang terletak bersebelahan kediaman mangsa, sebelum terkejut dengan bunyi letupan dan bahang panas.

"Saya kemudian melihat api sedang marak di dapur rumah mereka dan dua sepupu kelihatan panik. Saya jerit meminta mereka terjun daripada tingkap, namun mereka tidak berbuat demikian.

"Masih terngiang-ngiang di fikiran saya, raut wajah ketakutan mereka, namun apakan daya saya tidak sempat untuk membantu.

"Saya sendiri risau kediaman akan turut terbakar kerana saya juga ada seorang anak dan bapa yang uzur untuk diselamatkan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Mentuan, Sering, di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31, yang mempunyai masalah kesihatan dan adiknya, Aisyah Ab Halim, 22, yang juga Sindrom Down ditemui anggota bomba dalam keadaan rentung.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Negeri Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, seramai 25 anggota Balai Bomba Penyelamat Kota Bharu dan Pasir Tumboh bertugas memadam kebakaran itu,

Katanya, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 9.30 malam dan pemeriksaan anggota menemui dua mayat mangsa masing-masing di ruang tamu dan bilik air.

"Pihak kami menyerahkan kepada anggota polis untuk membawa keluar mayat serta menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 12:57am
d