mutakhir

Hilang tiga jari tersepit mesin pengisar

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Pekerja kilang memproses makanan putus tiga jari selepas tersepit pada mesin pengisar daging di ketika bekerja di sebuah premis di Taman Cheras Utama di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.26 tengah hari tadi.

"Sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi didapati terdapat seorang lelaki dewasa warganegara Nepal berusia 20 tahun di mana tangan kanannya pada mesin pengisar daging," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat terpaksa membawa mangsa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini bagi mengeluarkan jari mangsa yang tersepit.

"Setelah diberi suntikan bius anggota operasi berjaya mengeluarkan jari yang tersepit.

"Mangsa kehilangan tiga batang jari iaitu jari telunjuk, jari manis, dan jari hantu," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2023 @ 3:36pm
d