mutakhir

'Saya tak dengar ahli Umno tunjuk protes, keluar parti' - Loke [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Saya tak dengar ada ahli parti itu (Umno) tunjuk protes (keluar parti), itu hak masing-masing, saya tak tahu, sama ada mereka nak protes atau sebaliknya, itu terpulang," kata Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke.

Beliau berkata, pemimpin DAP termasuk dirinya yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), Ahad lalu, adalah atas kapasiti sebagai salah seorang pemimpin Kerajaan Perpaduan.

"Pada hari itu, seperti yang kita nyatakan dengan jelas, kita bukan membawa topik parti kita, tapi perhimpunan Kerajaan Perpaduan adalah satu himpunan yang merangkumi semua kekuatan dalam kerajaan.

"Sebab itu kita tidak pakai pakaian uniform (seragam) parti masing-masing, semuanya berbaju putih untuk menunjukkan kesatuan dan masing-masing hadir dengan satu semangat bahawa kita hendak mendukung Kerajaan Perpaduan, tanpa melihat topik politik masing-masing.

"(Walaupun) saya hadir sebagai Setiausaha Agong DAP, tetapi saya berucap sebagai seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian penukaran Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, veteran DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban diminta mengulas mengenai pelbagai dakwaan bahawa kemungkinan ramai ahli Umno akan keluar parti susulan Dewan Merdeka, yang menjadi lokasi himpunan keramat orang Melayu dimasuki serta 'ditawan' pemimpin serta ahli DAP, Ahad lalu.

Baru-baru ini, Presiden Muafakat Nasional (MN) yang juga bekas pemimpin kanan Umno, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan meramalkan Umno akan terus ditolak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dakwaan berkenaan dijangka tidak akan memberi kesan kepada gabungan kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Tambahan pula katanya, pihak yang membuat dakwaan terbabit adalah mereka yang sudah keluar Umno.

"Macam-macam dakwaan, tapi saya dengar dakwaan itu daripada orang yang sudah keluar daripada Umno, itu terpulanglah," katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 1:08pm
d