Bola Sepak

Liga Super: Penyokong gaduh di Stadium Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, di sini malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.

Insiden yang terjadi pada aksi separuh masa pertama itu turut tular di media sosial.

Daripada video ditularkan, kejadian berlaku di tempat duduk penyokong dan kelihatan aksi tumbuk-menumbuk antara mereka, sebelum pergaduhan itu berjaya dileraikan pasukan keselamatan.

Difahamkan, pergaduhan antara penyokong tercetus sejak petang apabila tular sebuah video di Twitter @SpskOfficial memperlihatkan kerumunan individu bergasak di hadapan Pusat Akuatik Tuanku Zara berhampiran stadium.

Susulan insiden, kawalan keselamatan dipertingkatkan termasuk polis mengiringi bas pemain selepas perlawanan selesai, selain belasan bas lagi yang membawa penyokong dari Selangor.

Tiada insiden luar jangka yang tercetus selepas perlawanan itu dan keputusan akhir menyaksikan Selangor membenam Perak 4-0.

Disiarkan pada: May 21, 2023 @ 12:51am
d