mutakhir

Remaja mengaku salah rogol kekasih bawah umur [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas tuduhan memperkosa kekasihnya dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Arman Mohd Shuhaimi, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun tujuh bulan di kawasan semak di daerah ini, jam 9.30 malam, pertengahan April 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes untuk fakta dan hukuman sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Najmi Md Nasir.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 2:34pm
d