mutakhir

Hina institusi Diraja, Proklamasi Orang Melayu: Polis rakam percakapan Dr Mahathir

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dirakam percakapannya hari ini berikutan kenyataan beliau berunsur penghinaan terhadap institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, rakaman percakapan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman pada 10.30 pagi ini, di Yayasan Al Bukhary, di sini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Siasatan dijalankan mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir yang berunsur penghinaan terhadap institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.

"Kes masih di peringkat siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu juga menandatangani dokumen bagi menandakan sokongan mereka terhadap gesaan Dr Mahathir supaya orang Melayu bersatu dan menyelamatkan masyarakat.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid turut menandatangani dokumen itu atas kapasiti peribadi.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 6:35pm
d