Bola Sepak

Kelantan United tambah derita Red Warriors

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Perlawanan penuh drama Kelantan Derby berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Kelantan United Football Club (KUFC) dengan kemenangan 4- 1 ke atas Kelantan FC, malam tadi.  

Kelantan hadir sebagai pelawat bermula garang dengan Muhammad Fazrul Amir Md Zaman hampir mencetak gol pertama seawal minit kedua namun gagal membolosi gawang Kelantan United.   

Minit kesembilan, kedua-dua pasukan bermain dalam keadaan padang becak apabila hujan lebat.  

Peluang Kelantan yang bermula dengan hantaran cantik Cifu kepada kapten The Red Warriors, Mario Arques gagal diterjemahkan apabila tandukan pemain import Sepanyol itu tersasar di minit ke 12.  

Di minit ke 20, Devid bijak mengambil peluang menolak mudah bola ke dalam gawang lawan untuk mengejutkan pelawat.

Lima minit kemudian, Kijang Hijau terus menambah derita 'abang' mereka dengan gol kedua, hasil rembatan deras OJ Porteria.  

Pada Minit ke 37, atas faktor keselamatan perlawanan terpaksa dihentikan selepas hujan lebat dan kilat di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu.  

Permainan bersambung semula pada jam 11 malam selepas satu jam setengah ditunda.  

Gol pertama Kelantan akhirnya muncul apabila pengadil menghadiahkan penalti selepas Fazrul Amir Md Zaman dikasari pertahanan Kelantan United.

Ismaheel Akinade mudah menyempurnakan sepakan penalti sebelum tiupan wisel penamat separuh masa pertama.

OJ Porteria meledak gol kedua untuk mengukuhkan kedudukan Kelantan United pada minit ke-61. 

Empat minit kemudian, Syazwan Zainon melebarkan jurang dengan mencetak gol keempat tuan rumah.  

Minit ke 83, menyaksikan jurulatih Kelantan, Frank Bernhardt dikenakan kad kuning selepas mengganggu tugas penjaga garisan. 

Arques pula mencetus ketegangan apabila bertikam lidah  dengan pemain tengah Kelantan United, S Sharvin pada minit ke 88. 

Keputusan kekal dengan kemenangan sulung berjaya diraih Kelantan United musim ini di hadapan 2,910 penonton.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 12:53am
d