utama

Pilu di sisi dua mayat anak lemas

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Dua kanak-kanak lemas ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini, manakala seorang lelaki yang cuba menyelamatkan mereka ketika kejadian masih hilang.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang dilaporkan lemas membabitkan dua beradik, iaitu kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an yang masih hilang itu adalah orang awam yang cuba membantu menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit.

Menurut sumber, ketika kejadian, kanak-kanak lelaki dilihat terkapai-kapai ketika mandi di pantai itu sebelum diselamatkan orang awam dan diberi bantuan pernafasan kecemasan, namun gagal diselamatkan.

"Mangsa kedua ditemukan orang awam terapung di laut sekitar 3 petang dan disahkan lemas," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan usaha kini giat dijalankan bagi mencari seorang lagi mangsa yang hilang.

Katanya, usaha menyelamat dijalankan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 4:08pm
d