akademia

Lahir lebih ramai graduan

Oleh Ruwaida Md Zain

SERAMAI 1,232 graduan daripada 24 program pengajian membabitkan 767 graduan peringkat diploma dan 465 graduan peringkat sijil diraikan dalam Majlis Graduasi Kumpulan MSU College (MSUC) kali ke-25 baru-baru ini.

Sambutan satu sidang yang penuh bermakna itu menyaksikan bilangan graduan terbesar iaitu seramai 181 graduan dari program Sijil Pengurusan

Perniagaan, Diploma Seni Kulinari seramai 182 serta Diploma Pengurusan pula 277 graduan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor MSU itu disempurnakan oleh Presiden Kumpulan MSU College, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Turut hadir, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid serta pengurusan kanan Kumpulan MSU College.

Mohd Shukri ketika ucapan berkata, selaku kolej satelit kepada MSU, Kumpulan MSU College menyediakan akses pendidikan menyeluruh kepada semua.

Menurutnya, inisiatif ini sebagai usaha melahirkan graduan kompeten dan versatil dengan penekanan elemen Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Melalui 10 kampus dan satu pusat pembelajaran, Kumpulan MSU College turut memainkan peranan proaktif dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dan berimpak tinggi apabila menawarkan program pengajian peringkat ijazah sarjana muda MSU secara pembelajaran fleksibel sama ada melalui mod bersemuka, hybrid dan dalam talian.

Mengulas mengenai majlis graduasi berkenaan pula katanya, sebanyak tiga kategori khas kecemerlangan dianugerahkan kepada 10 graduan.

"Ini sebagai pengiktirafan di atas pencapaian mereka dalam aspek akademik dan kemahiran insaniah.

"Graduan berkenaan adalah Priestly Ivan Noah Simon, Diploma Pengurusan dari MSU College Sabah (Anugerah Emas Presiden) dan Joan Wee Phei Xuen, Diploma Seni Kulinari dari MSU College Kota Bharu (Anugerah Mohd Shukri Yajid).

"Lapan graduan penerima Anugerah Akademik ialah Ju Ratna Isli Anak Bali (Diploma Perguruan), Nur Farishah Amanullah (Diploma Pengurusan), Yasmin Zahirah Zulkepli (Diploma Rekabentuk Grafik), Mohamad Hakim Malik (Diploma Perakaunan).

"Connie Ku Pei Wun (Diploma Pengurusan Pelancongan), Flora Tan Shi Mun (Diploma Pengurusan Hotel), Muhammad Imran Mohd Zamberi (Sijil Pengurusan Perniagaan) serta Sheikh Sameer Basmeih Mansur (Sijil Fotografi Digital)," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 6:45am
d