Bola Sepak

Fandi hampa dikecewakan KL City

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui kecewa kerana skuad itu gagal mengutip mata selepas tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kekalahan itu juga turut meleburkan rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah di halaman sendiri selepas mengharungi 13 perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

"Saya hampa terutama pada aksi separuh masa pertama yang menyebabkan perubahan terpaksa dilakukan pada babak kedua. Biarpun kita banyak menyerang pada babak kedua tetapi tiada penyudahan tepat menyebabkan lawan mencatat kemenangan.

"Kita dominasi babak kedua tetapi mungkin pada perlawanan hari ini (malam tadi) kita kurang bernasib baik," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Pada perlawanan itu, dua gol KL City, masing-masing satu dijaringkan oleh Tchetche Kipre dan Paulo Josue pada minit kelima dan ke-75 manakala tunggal tuan rumah pula dijaringkan pemain pertahanan import, Stefano Brundo pada minit ke-57.

Pada pusingan kedua liga, Fandi mengharapkan anak buahnya dapat beraksi lebih baik dan bertenaga untuk mencatat keputusan positif pada setiap perlawanan.

Katanya, biarpun memuji komitmen tinggi yang dipersembahkan terutama selepas ketinggalan, ia belum cukup untuk meletakkan skuad Tok Gajah pada prestasi membanggakan.

"Saya harap pada pusingan kedua ini pemain lebih bagus dan memanfaatkan segala peluang yang ada untuk kejayaan pasukan," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 10:02am
d