Bola Sepak

Hodak gesa KL City kekal fokus

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak bangga dengan pencapaian skuad itu selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan KL City menamatkan pusingan pertama Liga Super musim ini di kedudukan keenam dengan mengutip 22 mata.

"Pada 10 perlawanan terakhir, KL City mencatat lapan kemenangan, satu seri dan satu tewas. Bagi saya, ia pencapaian terbaik. Saya harap prestasi lebih baik akan dipersembahkan pada perlawanan selepas ini," katanya.

Pada perlawanan itu, aksi cemerlang pelawat sudah dapat dilihat apabila mengejutkan tuan rumah hasil sentuhan jaringan daripada Tchetche Kipre seawal minit kelima.

Biarpun Sri Pahang bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pertahanan import, Stefano Brundo pada minit ke-57, kapten pasukan Paulo Josue menyempurnakan sepakan percuma minit ke-75 untuk memastikan tiga mata buat KL City.

Ditanya pertemuan dengan Penang FC pada 8 Jun ini, Hodak menjangkakan tentangan sengit bakal dihadapi skuadnya.

"Penang kini berada pada prestasi baik dan memiliki pemain yang berpengalaman. Oleh itu saya mengharapkan keputusan positif pada perlawanan itu," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 10:14am
d