mutakhir

Didikan keluarga punca Nadhrah pandai mengaji

Oleh Ahmad Hasbi

Nilai: Sejak kecil setiap malam sebelum tidur atau ketika dalam perjalanan ke mana-mana destinasi, ibunya akan memasang kaset bacaan taranum ayat suci al-Quran yang akhirnya menarik minat dan memupuk kemahirannya mengaji.

Malah ketika menginjak usia empat tahun, Nadhrah Ahmad Marzuki, 23, mula mendalami ilmu tajwid memandangkan bapanya, Ahmad Marzuki Abdul Kadir, 49, seorang yang tegas dalam bab berkenaan.

Hasilnya anak kelahiran Dungun, Terengganu ini muncul johan Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 2023 pada 24 Mei lalu sekali gus melayakkannya mewakili negeri berkenaan ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 bermula 11 hingga 16 Jun depan.

Menceritakan minatnya terhadap ilmu taranum dan bacaan al-Quran, Nadhrah berkata, ibunya, Nor Asiah Ali, 40, dan ahli keluarga sebelah ibu memang aktif menyertai pertandingan tilawah al-Quran.

"Ketika kecil, ibu memasang kaset taranum bacaan ayat al-Quran ketika mahu tidur sehingga saya dan adik terlelap. Ibu lakukannya setiap malam.

"Malah, jika ke mana-mana destinasi, ketika dalam kereta memang ibu dan ayah memasang bacaan al-Quran. Kami memang tidak mendengar radio atau lagu," katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, seawal usia 10 tahun, dia sudah menyertai majlis tilawah di sekolah rendah dan ketika masuk ke sekolah menengah, dia menyertai pertandingan tilawah sebanyak lima kali.

"Pada 2018, saya mewakili Selangor bagi kategori pelajar sekolah ke peringkat kebangsaan dan mendapat johan.

"Pada tahun sama, saya menyertai pertandingan peringkat negeri di Terengganu atau kategori dewasa dan mendapat tempat ketiga.

"Tahun seterusnya saya masuk pertandingan peringkat negeri di Terengganu (2019), Selangor (2020-2021) dan di Negeri Sembilan pada tahun ini sebelum muncul johan.

"Ibu pula mendapat naib johan bagi pertandingan peringkat negeri di Terengganu. Jika ibu muncul johan, mungkin kami akan 'bertembung' di pertandingan peringkat kebangsaan di Pulau Pinang nanti," katanya.

Pelajar jurusan Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Islam Malaysia, Nilai, di sini, ini berkata, bapa saudaranya, Ustaz Tirmizi Ali mendapat pencapaian paling tinggi dalam keluarga apabila muncul johan pada pertandingan peringkat antarabangsa pada 2014.

"Didikan ibu dari kecil, ketegasan bapa dan kejayaan ahli keluarga memberi inspirasi serta menanam minat saya yang mendalam terhadap seni bacaan al-Quran," katanya yang kini menetap di Kajang, Selangor.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 4:18pm
d