mutakhir

Ini baru pendirian Ketua Pemuda Umno yang berani, bermaruah - KJ

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang tidak akan menjemput parti membentuk Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi sayap pemuda yang akan berlangsung minggu ini.

Menerusi podcast Keluar Sekejap, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno mendedahkan beliau sudah menghantar mesej kepada Dr Muhamad Akmal sambil menyifatkan tindakan diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu satu pendirian yang berani dan mempunyai maruah.

Bekas Menteri Kesihatan itu turut memujinya sambil menyatakan Dr Akmal adalah seorang pengganti yang layak berbanding Ketua Pemuda Umno sebelumnya.

"Ini baru pendirian ketua pemuda yang berani dan ada maruah. Saya kata kepada dia (Dr Muhamad Akmal) anda adalah pengganti yang layak. Yang sebelum dia itu pengganti yang tak layak," katanya menerusi podcast itu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno sebelum Dr Muhamad Akmal.

Dr Muhamad Akmal menerusi wawancara bersama Harian Metro sebelum ini mendedahkan, Pemuda Umno tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke PAU bagi sayap pemuda yang akan berlangsung minggu ini.

Beliau berkata, pihaknya mahu 'memperbetulkan' dulu apa yang berlaku di 'rumahnya' sebelum menjemput mana-mana parti.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Umno tidak pernah menjemput parti yang sebelum ini menjadi seteru bagi menghadiri PAU kecuali Pas selepas pemeteraian Muafakat Nasional (MN).

"Pas pernah dijemput selepas kita memeterai Muafakat Nasional (MN). Tetapi saya nampak MN tidak mengundang reaksi dan kurang selesa dalam kalangan akar umbi. Akar umbi Umno sekarang ini dalam keadaan tidak selesa.

"Mereka faham kenapa perlu ada kerajaan campuran dan sebagainya. Saya rasa naratif Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu sudah diterima. Tetapi mereka tidak selesa mengenainya," katanya.

Mengulas isu sama, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan turut memuji tindakan Dr Muhamad Akmal dengan tidak mengikut membuta tuli dalam sesuatu situasi yang berlaku.

"Dalam hal ini sebenarnya mencerminkan apa yang saya dah agak mengenai dia (Dr Muhamad Akmal). Mungkin dia calon pilihan Setiausaha Agung yang juga bekas Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi) menyusun banyak perkara.

"Mungkin sebab itu juga dia menjadi pilihan Presiden (Ahmad Zahid) waktu pemilihan.

"Tetapi Dr Muhamad Akmal ada sedikit kecenderungan yang boleh membawa kepada situasi dia tidak akan ikut membuta-tuli dan ini mungkin indikator pertama dalam penggal ini.

"Sebelum ini nampak ikut serta kita ingat dia minta maaf pada Amanah waktu Konvensyen Perpaduan dan sebagainya tetapi ini kali pertama dia mengambil jalan yang berlainan," katanya.

Shahril berkata, pihaknya juga mahu melihat sama ada Dr Muhamad Akmal akan konsisten dengan pendiriannya atau teguran yang dibuat oleh sebilangan pemimpin berkait isu jemputan itu akan menyebabkannya 'kendur'.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 4:57pm
d