utama

Budak dua tahun antara lima maut kemalangan

Oleh Erika George

Selangau: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun antara lima maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 40 Jalan Sibu-Bintulu, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, mangsa maut dikenali sebagai Allesandro Collin Stewart, 2 dan Alicesha Bathrish Langi, 24, yang menaiki kereta Perodua Myvi

Katanya, tiga lagi mangsa maut menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage dikenali sebagai Marcos Marican, 26; Marican@Langkan Legi, 61, dan seorang lagi lelaki belum dikenal pasti identiti.

"Empat mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

"Lima lagi mangsa cedera dengan seorang daripadanya dilaporkan parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 10.09 pagi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba kemudian mengeluarkan seorang wanita yang tersepit di dalam Perodua Myvi.

"Pemeriksaan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Selangau, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Menurut jurucakap itu, lima mangsa yang cedera turut dihantar ke KK Selangau untuk rawatan lanjut.

"Mayat kelima-lima mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2023 @ 5:52pm
d