E-Sukan

Atlet Mobile Legends negara hafaz al-Quran

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Bukan sahaja hebat bermain sukan elektronik (e-sukan) Mobile Legends, namun individu bernama Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi sebenarnya seorang hafizah al-Quran 30 juzuk pada usia 14 tahun.

Malah, pemenang pingat gangsa acara Mobile Legends Wanita pada Sukan Sea Phnom Penh Kemboja 2023 juga adalah penuntut Diploma Pengajian Perniagaan Kolej Professional Mara Beranang yang memperoleh CGPA GPA 4.0 selama lima semester berturut-turut setakat ini.

Menceritakan pengalaman mula terlibat dengan Mobile Legend, dia yang lebih mesra disapa Aria adalah bekas pelajar Maahad Tahfiz Alquran Sri Al Amin Bangi mula terbabit e-sukan pada usia 16 tahun selepas mengikuti abangnya bermain permainan Mobile Legends.

Selepas bakatnya berjaya dihidu, dia mendapat sokongan keluarga untuk mula melibatkan diri dengan lebih aktif apabila banyak menyertai kejohanan yang dianjurkan.

"Pada mulanya memang takut tapi saya jenis yang suka meneroka perkara baru dan saya mula melibatkan diri dengan menyertai pelbagai kejoahanan.

"Selepas beberapa kali masuk kejohanan, saya rasa macam seronok kalau boleh memang setiap minggu nak pergi masuk pertandingan walaupun kalah awal sbb kita nak cari pengalaman," katanya kepada Arena Metro.

Bagi Aria, dia berpendapat tidak ada salahnya untuk anak muda melibatkan diri dalam sukan esport memandangkan ia banyak memberi manfaat kepada golongan itu.

Malah katanya, sekiranya seseorang itu membahagikan masa dengan baik, ia mampu untuk memberi impak positif kepada individu berkenaan.

"Pada pendapat saya, walaupun kita beragama tak semestinya kita boleh pandang rendah pada esports. Sebenarnya banyak manfaat bila kita bermain permainan elektronik seperti meningkatkan fokus, pengendalian masa, critical thinking, dan boleh jadi lebih disiplin.

"Sudah pasti setiap perkara ada kelebihan dan kelemahannya tersendiri. Selagi kita berjaya seimbangkan agama dan bermain game, saya rasa ia tidak menjadi masalah besar selagi kita masih ingat akan Allah dan laksanakan tanggungjawab kita sebagai umat Islam," katanya lagi.

Dalam masa sama, Aria turut berharap akan lebih banyak golongan muda terutamanya wanita dapat menceburi bidang esports dalam memajukan lagi industri ini di Malaysia.

Disiarkan pada: June 6, 2023 @ 4:31pm
d