mutakhir

Bukit Aman selesai rakam percakapan Sanusi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam percakapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Menteri Besar Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, hari ini.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, rakaman percakapan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

"PDRM kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima empat laporan membabitkan Muhammad Sanusi berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.

Sebelum ini Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang disifatkannya sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat polis berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan negeri diterajuinya itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Disiarkan pada: June 7, 2023 @ 10:07pm
d