Sukan Lain

Harrif pertimbang nasihat Azizulhasni

Oleh Zulkarnain Azman

Nilai: Pelumba basikal lebuhraya Malaysia,Mohd Harrif Saleh sedia menjadi sandaran dalam acara berbasikal trek sekiranya kudratnya masih ditagih pasukan Malaysia.

Mohd Hariff yang turun dalam acara perlumbaan penyingkiran di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), mengakui dia masih rindu untuk berlumba di trek meskipun sudah meninggalkannya 11 tahun yang lalu.

Katanya, walaupun hanya melakukan persiapan selama dua minggu bagi menyertai kejohanan ACC, namun dia tetap berpuas hati dengan pencapaiannya yang menamatkan perlumbaan penyingkiran di kedudukan kelapan, daripada 15 pelumba.

"Sebenarnya, acara kegemaran saya adalah scratch, tapi di kejohanan kebangsaan saya tidak pernah memenanginya.

"Saya menang dalam acara penyingkiran dan diberi peluang mewakili negara di ACC dalam acara ini. Saya berpuas hati dengan pencapaian, not bad lah," katanya.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Terengganu ketika ditanya berkenaan perancangannya selepas ini, dia mendedahkan mahu terus fokus kepada acara lebuhraya kerana sudah mempunyai nama dalam acara itu.

Bagaimanapun dia mengakui masih timbul perasaan untuk meneruskan kerjaya di trek juga selepas dinasihati oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meneruskan kayuhan trek.

"Dia beritahu saya, sebagai pelumba lebuhraya, bermain di trek juga boleh membantu meningkatkan kekuatan kayuhan, untuk saya 'cari power'.

"Asalkan kita meneruskan latihan, kekal bermotivasi, saya sendiri fikirkan tiada masalah," kata Harrif yang masih menyimpan hasrat untuk muncul juara kebangsaan.

Untuk rekod, kali terakhir Harrif beraksi di ACC 2012, dia meraih pingat gangsa dalam acara scratch.

Disiarkan pada: June 16, 2023 @ 5:37pm
d