mutakhir

Polis pasang 'pukat', 290 saman, 54 motosikal disita

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Sejumlah 290 saman dikeluarkan dan 54 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 11.45 malam itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara memeriksa 210 motosikal di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata semua saman yang dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan trafik.

"Pemeriksaan mendapati kebanyakan motosikal diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi dibenarkan, selain ada yang tidak mempunyai lesen memandu.

"Semua penunggang yang berusia 18 hingga 30 tahun itu serta motosikal disita dibawa ke IPD Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan dan operasi terus digiatkan bagi membendung aktiviti itu daripada terus berleluasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu diminta untuk menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5759122.

Disiarkan pada: June 25, 2023 @ 3:52pm
d