mutakhir

Pedi Felda Palong 11 ditutup sementara

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) FELDA Palong 11 di Jempol, Negeri Sembilan yang mengalami kerosakan teruk susulan ribut pada Ahad lepas ditutup sementara bagi tujuan baik pulih, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan PEDi kendalian Telekom Malaysia (TM) itu mengalami kerosakan struktur bangunan, atap, siling, lantai serta kelengkapan perkakasan dan perisian di dalam bangunan akibat kejadian itu.

SKMM berkata, TM diarahkan untuk memberi laporan penuh mengenai kerosakan PEDi berkenaan dan kerja baik pulih akan dijalankan segera apabila nilai kerosakan PEDi berkenaan dikenal pasti.

"PEDi FELDA Palong 11 ditutup buat sementara waktu manakala komuniti setempat yang ingin menggunakan perkhidmatan Internet boleh berbuat demikian di PEDi FELDA Palong 5 yang berhampiran," katanya.

SKMM memaklumkan dua daripada 15 individu yang berada di dalam PEDi itu ketika ribut melanda mengalami cedera ringan iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak telah dihantar ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Menurut SKMM, mereka yang merupakan petugas dan komuniti PEDi berada di dalam pusat berkenaan untuk menjalani kelas latihan kemahiran ketika kejadian ribut melanda.

Pada Ahad, hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di Jempol menyebabkan kerosakan teruk di beberapa rumah penduduk.

Disiarkan pada: June 27, 2023 @ 5:41pm
d