mutakhir

13 kampung Orang Asli Selangor terima lembu korban

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Sebanyak 13 perkampungan Orang Asli di enam daerah negeri ini menerima sumbangan lembu korban sempena Aidiladha, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, sumbangan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu membabitkan peruntukan RM80,000.

"Kita hanya memilih 13 kampung sahaja kerana mereka mempunyai surau selain memastikan ada wakil masyarakat yang boleh kendalikan ibadah korban," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan lembu korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya, di sini.

Hee berkata, kampung yang menerima sumbangan itu adalah Hulu Batu, Hulu Kuang dan Batu 12 (Gombak), Bukit Bandaraya dan Bukit Lanjan (Petaling) serta Changkat Bintang, Tun Abduk Razak dan Bukit Manchong (Hulu Selangor).

Turut menerima agihan sama Kuala Pangsun (Hulu Langat), Bukit Bangkong dan Sungai Buah di Sepang serta Kepau Laut dan Taman Desa Kemandol di Kuala Langat.

"Kita menjangkakan lebih banyak kampung Orang Asli akan mendapat sumbangan lembu korban tahun depan berdasarkan maklumat daripada Jakoa," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2023 @ 4:44pm
d