mutakhir

Galeri Haji Pulau Pinang cipta sejarah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh, di sini, mencipta sejarah dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) apabila menerima pengiktirafan sebagai 'Galeri Haji Pertama di Malaysia'.

Mula dibuka pada 2015, bangunan galeri itu pernah menjadi 'pusat haji' dan jualan tiket kapal haji antara 1828 hingga 1960-an.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) Mohd Fitri Ibrahim berkata, sehingga kini galeri berkenaan mencatatkan lebih 10,000 kunjungan pelawat terdiri daripada pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, galeri haji itu dirasmikan tokoh Islam bertaraf dunia, Mufti Ismail Menk, malah pernah dikunjungi Duta Amerika Syarikat, Wakil Kedutaan Perancis, Singapura dan lain-lain lagi.

"Galeri Haji Pulau Pinang pernah menerima Anugerah Cemerlang Warisan 100 tahun Pulau Pinang daripada kerajaan negeri pada 2022. Pengiktirafan dari MBOR ini adalah bersempena sambutan Hari Warisan Dunia Georgetown.

"YIPP amat berbesar hati apabila Kerajaan Negeri serta pihak berkaitan, sentiasa membantu kami dalam mengangkat dan memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang," katanya di Lebuh Acheh, di sini, semalam.

Terdahulu, Mohd Fitri ditemui pada majlis simbolik penyerahan pengiktirafan berkenaan yang diserahkan Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai dan disaksikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Sementara itu Kon Yeow berkata, lokasi yang menempatkan bangunan Galeri Haji Pulau Pinang juga mencatat sejarah tersendiri apabila pernah menjadi saksi jemaah haji dari tanah air, Indonesia dan Thailand berlepas ke Tanah Suci Makkah pada pertengahan abad ke-19.

Lokasi itu juga pernah digelar Jeddah Kedua atau Makkah Kecil (Little Mecca) yang bermaksud pusat segala urusan mengenai ibadah haji.

"Lokasi dan galeri ini menjadi maklumat terpenting bagi masyarakat Islam dalam mengimbas kembali sejarah dan peranannya," katanya.

Galeri Haji Pulau Pinang yang terletak berhampiran Masjid Melayu Lebuh Acheh itu kini menempatkan lebih 40 koleksi terpenting seperti buku catatan ke tanah suci, poskad, syiling lama, Tong Sahara, kiswah dan gambar kapal haji membawa bakal jemaah ke Tanah Suci.

Sekitar 1800, Lebuh Acheh pernah membangun sebagai institusi agama terkemuka termasuk kegiatan perdagangan rempah serta gedung penerbitan dan percetakan.

Dikatakan sewaktu musim haji sekitar abad ke-19, kawasan berkenaan menjadi sibuk dengan aktiviti ibadat, pembelajaran agama serta pengurusan haji kira-kira tiga bulan sebelum jemaah berlepas ke Tanah Suci Mekah.

Berhampiran galeri juga terdapat rumah agamawan Syed Mohamad Al-Habshee, Madrasah Al-Quran Al-Mashoor, rumah Mufti Pertama Pulau Pinang, rumah keluarga dan makam Tengku Syed Hussain Idid.

Disiarkan pada: July 7, 2023 @ 7:00am
d